Thursday 6 December 2012

keutamaan wanita:keluarga atau kerjaya?

Baru-baru ini di Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengeluarkan kenyataan bahawa sektor awam dikuasai oleh wanita sebanyak 63% berbanding lelaki sebanyak 37%. Ini satu perkembangan yang agak membanggakan buat kaum wanita dan mungkin juga sebagai sedikit tamparan bagi kaum lelaki. Isu penguasaan wanita seolah-olah sudah menjadi trend dan sentimen bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia. Namun satu persoalan yang timbul, adakah ini kesan ideologi feminisme atau perkara biasa? Apakah ini benar-benar perkara yang positif untuk semua?
Kebolehan dan keupayaan kaum wanita kini memang kita tidak dapat nafikan. Berdasarkan kerajinan, kesungguhan, sifat inkuiri, berdikari, serta kemampuan mereka mengimbangi tanggungjawab di rumah dan di tempat kerja, maka memang wajar mereka mendapat tempat dalam sektor awam malah dalam kategori pengurusan dan profesional. Namun hakikat dan fitrahNya juga perlu diambil kira, cabaran dalam melaksanakan tugas tetap akan wujud. Umpamanya keupayaan tenaga, kekangan masa dan batasan agama (pergaulan, aurat, dan lain-lain). Inilah yang perlu ditangani dengan sehabis baik oleh wanita lebih-lebih lagi yang bergelar Muslim.
Memetik ucaptama bertajuk “Peranan dan Sumbangan Wanita dan Belia Kepada Pembangunan Negara” oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, wanita bakal mendominasi pengurusan tertinggi negara jika lelaki terus bersikap malas dan sambil lewa dalam menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran.
Namun, sejarah memperlihatkan bagaimana umat Islam cemerlang, gemilang dan terbilang ketika kaum wanitanya berada di rumah. Mungkin tiada statistik yang boleh dikemukakan untuk menyokong dakwaan ini, tetapi sekurang-kurangnya strategi Ataturk ketika merancang kemusnahan Khilafah Uthmaniyyah boleh dijadikan kayu ukur.
Ataturk menyedari bahawa di antara unsur kekuatan pegangan umat Islam ialah pada kedudukan wanitanya. Masyarakat boleh diubah dengan mengubah wanita. Wanita memelihara rumah tangga, anak-anak dan suami. Institusi keluarga ini menjadi benteng pertahanan umat ketika berhadapan dengan proses pembaratan budaya dan cara hidup di kala itu.
Kerana itulah, Ataturk telah menyusun strateginya yang tersendiri. Atas nama hak sama rata antara lelaki dan wanita, Ataturk menggalakkan wanita bekerja, bermusafir keluar meninggalkan rumah, malah diberikan tempat di kerusi-kerusi parlimen. Bagi mereka yang dahagakan ‘kemajuan’ mereka melihat usaha Ataturk ini sebagai usaha pemodenan yang wajar disyukuri. Namun, strategi Ataturk berjaya apabila institusi keluarga mula retak.

Dalam masyarakat kita sendiri, kesan daripada wanita bekerja telah menimbulkan pelbagai masalah. Penjagaan anak-anak terpaksa diserahkan kepada pembantu rumah dan pusat penjagaan kanak-kanak. Lantas mereka terbentuk mengikut sifat pembantu rumah dan pusat berkenaan. Amat mendukacitakan, ada di antara umat Islam yang anak-anaknya dijaga, diberi makan dan dididik oleh pembantu rumah yang non-muslim ataupun mungkin juga Muslim tetapi tidak mengamalkan cara hidup Muslim yang sebenar. Begitu juga, anak-anak renggang dari ibu dan bapa, kasih sayang tidak sekukuh generasi lalu.
Tidak hairanlah andai ada anak-anak yang besar kepala dan tidak menghormati mahupun mentaati ibu bapa masing-masing sepertimana hadis Nabi berkaitan tanda-tanda hari kiamat bahawa anak-anak semakin ramai yang menjadi ‘raja’. Semakin ramai Muslimah yang lebih mengutamakan kerjaya dan tidak berkahwin selepas mencecah usia lanjut.
Al-Marhum Said Hawwa telah mengulas berhubung dengan hal ini di dalam kitabnya al-Islam. Beliau menegaskan bahawa Uqubat Fithriyyah (balasan / hukuman fitrah) daripada wanita meninggalkan peranan mereka di rumah dan keluar bekerja, meliputi:
1. Kecelaruan hubungan di antara lelaki dan perempuan serta hilangnya ketenangan dan kesejahteraan. Anak-anak tidak dapat mengecapi penjagaan oleh ibu bapanya dengan sempurna.
2. Perempuan hilang rasa kebergantungan kepada suaminya dan ia menjadi ancaman yang besar kepada hubungan perkahwinan mereka.
3. Wanita itu telah menolak tanggungjawab nafkah orang lain ke atas dirinya. Akibatnya, selepas mencapai usia tua dan uzur, wanita itu masih perlu bekerja seperti lelaki walaupun fizikalnya sudah tidak mengizinkan.
4. Wanita kehilangan sifat-sifat kewanitaan yang dikhususkan kepadanya. Natijahnya, wanita itu sudah tidak lagi sesuai untuk memikul tanggungjawab asasinya seperti mengandung anak.
5. Keretakan hubungan kekeluargaan berkembang menjadi krisis di dalam masyarakat.
6. Ibu bapa yang baik tidak dapat mewariskan sifat-sifat mereka yang baik kepada anak-anak bahkan hubungan kasih sayang juga terjejas.
Kerana itulah Allah menyebut di dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud,
“Dan tetapkanlah kedudukan kamu (wanita) di rumah dan janganlah sekali-kali kamu bertabarruj dengan tabarruj jahiliah yang pertama”.
Tepuk dada, tanya iman lalu, jadikan ia panduan.
Jika kita ingin mengaitkan isu ini dengan ideologi feminisme, mungkin kita boleh merujuk Surah Al-Ahzab, ayat 35 yang bermaksud: “Sesungguhnya lelaki Islam dan perempuan Islam, lelaki beriman dan perempuan beriman, lelaki taat dan perempuan taat, lelaki benar dan perempuan benar, lelaki sabar dan perempuan sabar, lelaki merendah diri (kepada Allah) dan perempuan yang merendah diri, lelaki bersedekah dan perempuan bersedekah, lelaki berpuasa dan perempuan berpuasa, lelaki memelihara kehormatannya dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki banyak berzikir menyebut nama Allah dan perempuan yang banyak berzikir menyebut nama Allah, Allah menyediakan bagi mereka seluruhnya keampunan dan pahala yang besar.”
Jelas dalam ayat ini Allah menyebut mengenai persamaan tuntutan beribadat dan berakhlak akan mendapat ganjaran sama yang dikurniakan Allah kepada lelaki dan wanita. Jadi persoalan menuntut hak persamaan tidak perlu diungkit lagi. Di sini kita boleh menilai bahawa keadilan di dalam Islam adalah adanya kesamaan hak dan kewajipan untuk melakukan ibadah. Akan tetapi dalam hal peranan, adil bukan bererti sama tetapi adil adalah menempatkan segala sesuatu sesuai dengan tempatnya. Antara lelaki dan wanita bukanlah pesaing tetapi rakan kongsi yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Peranan wanita sebagai isteri bekerjaya memerlukan keseimbangan dalam melaksanakan tanggung jawab. Semua inginkan kecemerlangan dalam melaksanakan peranan yang dimainkan wanita tetapi keadaan sebenarnya adalah terlalu sukar untuk mereka cemerlang dalam semua bidang. Pengurusan rumah tangga yang bijak, berkesan dan cekap memerlukan wanita untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menangani semua masalah dan cabaran.
Sifat wanita yang dijadikan Allah penuh dengan kekuatan dalaman yang boleh dicernakan dengan mendekatkan diri kepada-Nya, dengan penuh ketakwaan dan memohon kekuatan dari-Nya dalam menghadapi segala cabaran dan halangan terutama dalam era globalisasi ini. Walaupun zaman berlalu, peranan wanita seperti Saidatina Khadijah, Saidatina Aishah, Nusaibah, Khaulah dan ramai lagi Ummul Mukminin dan Sahabiah perlu diteliti kisah hidupnya untuk mencungkil kekuatan yang boleh dicontohi sebagai bekalan dalam menghadapi dunia yang terlalu mencabar peranan Muslimah hari ini.